Create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!

Anda Pelawat ke...

Jumaat, 21 Mei 2010

Buku Baharu Minggu Ini

Siri: Ceritera Teladan
Judul: Kasihnya Ibu
Pengarang: Razlan Yusoff

Cerita ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri, Samad dan Piah yang tidak mempunyai anak. Pada suatu hari, seorang pakcik telah tersesat ke kampung mereka lalu diberi tumpang di rumah mereka. Sebagai membalas jasa baik mereka, pakcik tersebut pun memberikan sekuntum bunga yang aneh kepada Piah. Pakcik tersebut berpesan agar Piah mandi air bunga tersebut supaya boleh hamil. Tidak lama selepas itu, Piah pun hamil.

Pada suatu hari, sedang berburu, Samad dipatuk ular. Mayatnya ditemui oleh orang kampung. Piah bersendirian melahirkan dan membesarkan anaknya, Dahlia. Setelah meningkat dewasa, Dahlia dijodohkan dengan anak ketua kampung.

Setelah ketua kampung meninggal, anaknya mengambil tempatnya sebagai ketua kampung. Dahlia mula lupa diri setelah mendapat jawatan dan kemewahan.

Pada suatu hari, Piah kehabisan beras. Dia pun segera ke rumah Dahlia untuk meminta secupak beras. Betapa kecewanya hati Piah, apabila anaknya itu menghalau dia dari rumah. Piah berkata,"Daripada mempunyai anak seperti kau, baik aku tiada anak."

Tiba-tiba guruh berdentuman. Hujan turun dengan lebatnya. Badan Dahlia terasa sakit. Dia meminta tolong dari ibunya. Jeritan Dahlia tidak dipedulikan Piah. Perlahan-lahan Dahlia bertukar menjadi batu. Piah terus melangkah tanpa menoleh lagi.

Isnin, 17 Mei 2010

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah dijalankan seperti berikut:

Hari : Isnin
Tarikh : 17 Mei 2010
Masa : 7.40 pagi - 1.30 ptg

Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua guru dan staf yang telah bekerjasama menjayakan aktiviti pada hari ini.

"TERIMA KASIH CIKGU!"

Gotong Royong Sempena Hari Guru

Gotong Royong Sempena Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah diadakan seperti berikut:

Hari : Sabtu
Tarikh : 15 Mei 2010
Waktu : 8.00 pagi - 12.00 tghari

Terima kasih diucapkan kepada semua guru, staf dan ibu bapa yang telah bekerjasama menjayakan aktiviti gotong-royong pada hari ini.

Sabtu, 8 Mei 2010

KPPM pada 15 April 2010: Situasi Semasa Influenza A (H1N1)

KPPM pada 15 April 2010: Situasi Semasa Influenza A (H1N1)

TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
RABU, 15 APRIL 2010, PUTRAJAYA


situasi semasa influenza a ( h1n1 )



1. Sepertimana kita sedia maklum, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan bahawa berlaku peningkatan trend jangkitan Influenza A (H1N1) telah meningkat berbanding dengan minggu sebelumnya dan didapati berlaku penambahan kejadian kluster Influenza Like Illness (ILI) terutama di sekolah . Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius berhubung kualiti kesihatan murid-murid dan warga sekolah. Pada 13 April 2010, beberapa kes kluster ILI telah berlaku di negeri Johor, WP Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

2. Kementerian Pelajaran Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk meyakinkan kepada semua ibubapa supaya tidak panik kerana langkah-langkah proaktif telah diambil sebagai langkah berjaga-jaga. Apa sahaja tindakan yang diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan nasihat Kementerian Kesihatan yang sentiasa membantu dengan memberi khidmat kepakaran mereka dalam menangani kes ini di sekolah-sekolah.

3. Semua Guru Besar dan Pengetua sekolah adalah diingatkan supaya mengambil tindakan proaktif bagi memastikan Influenza A (H1N1) tidak menular di sekolah-sekolah. Sekolah diminta memantau setiap hari jika terdapat tanda-tanda penyakit seperti demam panas dan selsema pada diri pelajar dan warga sekolah hendaklah segera dirujuk kes mereka ke hospital dengan segera. Sila rujuk kepada Surat Siaran Kementerian Pelajaran bertarikh 17 Julai 2009: KP/KPPM/10/Jld.2 (2).

4. Pihak sekolah telah dimaklumkan bahawa tindakan penutupan sekolah hanya akan diambil sebagai pilihan terakhir. Walau bagaimanapun, jika keadaan memerlukan, pihak sekolah perlu mengambil tindakan berikut

4.1 Murid yang mempunyai simpton ILI tidak dibenarkan hadir ke sekolah.
4.2 Sekolah hendaklah berfungsi seperti biasa, penutupan hanya dibuat apabila sekolah/kelas tidak dapat berfungsi.
4.3 Pengasingan murid yang mempunyai simptom ILI perlu diberi perhatian khusus oleh pihak sekolah.

5. Sekiranya pihak sekolah mendapati wabak berkenaan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran, pihak sekolah boleh mendapatkan nasihat dari Pegawai Kesihatan Daerah untuk tindakan selanjutnya. Walau bagaimanapun penutupan sekolah adalah terletak dibawah kuasa Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri.

6. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa mengingatkan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah serta sekolah agar mengmbil perhatian serius terhadap penularan kluster Influenza A ( H1N1 ) dan mengambil pendekatan yang bijaksana.



Sekian, terima kasih.

SAMBUTAN HARI GURU

PENGENALAN

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


LOGO HARI GURU

logo


Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.

Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.


OBJEKTIF

Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.

Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.


IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


LAGU


GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia


Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi


TEMA HARI GURU

2010 Guru Pembina Negara Bangsa

2009 Guru Pembina Negara Bangsa

2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang

2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang

2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama

2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan

1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

1997 Guru Bestari Sekolah Bestari

1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan

1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang

1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

1989 Guru Pembina Budaya Ilmu

1989 Guru Pembina Budaya Ilmu

1988 Guru Pengasas Budaya Membaca

1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1986 Pendidikan Teras Nasionalisme

1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu

1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara

1979 Murid Sejahtera Negara Jaya

1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan

1975 Guru dan Pembangunan Negara

1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi

1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

PERUTUSAN HARI GURU 2010 OLEH Y.BHG. TAN SRI KPPM

PERUTUSAN HARI GURU 2010
oleh
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.


Warga pendidik dan pelajar sekelian,

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.


9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.

10. Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

12. Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.


TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.