Create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!

Anda Pelawat ke...

Ahad, 19 Disember 2010

Jualan Buku SeKeRu 2011

Assalamualaikum,

Jualan Buku bagi sesi persekolahan 2011 akan dijalankan seperti yang berikut:
Tarikh : 30.12.2010
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Kantin Sekolah

Diharap agar semua yang terlibat dapat hadir pada masa dan tempat yang ditetapkan.

Sekian, terima kasih.

Mesyuarat Guru 1/2011

Assalamualaikum,

Mesyuarat Guru 1/2011 akan diadakan seperti yang berikut:
Tarikh : 30.12.2010
Masa : 10 pagi
Tempat : Pejabat SKR

Diharap semua guru dapat hadir pada mesyuarat yang tersebut di atas.

Sekjian, terima kasih.

Standard Kandungan KSSR

Assalamualaikum,

Semua guru yang ingin memuat turun Standard Kandungan (SK) KSSR Tahun 1 Tahun 2011, boleh berbuat demikian di laman web BPK

Selasa, 19 Oktober 2010

Bulan Bahasa Kebangsaan

Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan, Unit PSS dan Panitia Bahasa Melayu telah menganjurkan beberapa program.

Tarikh: 9 - 22 Oktober 2010
Tempat: SK Rungkup

Diharap program sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan ini mendapat sambutan dan kerjasama semua warga sekolah.

Bahasa Jiwa Bangsa

Isnin, 20 September 2010

Selamat Maju Jaya!

Unit PSS SK Rungkup ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya dalam peperiksaan UPSR 2010 kepada semua murid Tahun 6 SK Rungkup.

Khamis, 9 September 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Salam Aidilfitri...

Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua guru, kakitangan serta murid Sekolah Kebangsaan Rungkup. Semoga Aidilfitri disambut dengan meriah.

Berhati-hati di jalanraya. Ingatlah orang yang tersayang.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

Khamis, 26 Ogos 2010

53 Tahun Kemerdekaan



Setelah 53 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.

Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 53 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

Erti Kemerdekaan

Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara.

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.

Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden.

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.  

Di Ambang Merdeka - 30 Ogos 1957

Peristiwa Di Malam Bersejarah
Menjelang malam 30 Ogos, kelihatan jalan-jalan sekitar Bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan awam yang membawa bendera Persekutuan Tanah Melayu. Batu Road umpamanya, sesak dengan kereta, bas, beca, basikal serta pejalan-pejalan kaki. Tua dan muda bersama-sama melangkah berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah diterangi lampu-Iampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan sekeliling. Banyak kedai-kedai di sepanjang Batu Road dibuka sehingga larut malam.

Sebuah pentas khas didirikan di padang itu dengan dihiasi dengan lampu yang berwama-warni sebagaimana juga di keliling padang. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri. Manakala berpuluh-puluh ribu rakyat jelata dari berbagai bangsa berkumpul di sekeliling padang sehingga ke jalan raya. Turut hadir pada malam itu ialah perwakilan-perwakilan rasmi, pemberita-pemberita dan jurugambar dari dalam dan luar negara serta Ketua-Ketua Parti Perikatan dari seluruh negeri.

Rentetan Peristiwa / Acara
10.00 malam
Di padang, wakil ahli-ahli Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Singapura (12 delegasi) mengambil tempat di sekeliling 3 bahagian padang. Barisan hadapan memegang tali dan dengan jarak 6 kaki, seramai 2000 ahli-ahli Pemuda UMNO memegang satu lagi tali.

10.30 malam
300 Pemuda Perikatan membentuk perbarisan kehormatan mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap Jalan Raja (menara jam). Perbarisan ini diketuai oleh En. Ismail Bontak.

11.55 malam
YTM Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli-ahli Perikatan bermotorsikal (15 UMNO, 10 MCA, 5 MIC) dan 2 polis pengiring bermotorsikal (outriders) tiba di Jalan Raja. Perarakan bermotorsikal ini bermula dari rumah kediaman rasmi YTM Tunku Abdul Rahman.

Apabila tiba, YTM Tunku telah disambut oleh Dato' Abdul Razak bin Hussein, Encik Saadon Zubir (Ketua Pemuda UMNO), Dato' Sir Tan Cheng Lock (Yang Dipertua MCA) dan V. T. Sambantan (Yang Dipertua MIC). Tunku kemudiannya dibawa ke atas pentas menghadap ke tiga-tiga tiang bendera.

11.58 malam
Semua lampu di padang dan disekelilingnya dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita.

12.00 malam
Lampu dipasang semula apabila jam besar berbunyi menandakan detik 12 malam tiba. Ini diikuti dengan laungan 'Merdeka' oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]

Sepasukan 12 orang Pemuda dan Pemudi Perikatan yang terdiri dari 6 pemuda dan 6 pemudi (6 UMNO, 4 MCA, 2 MIC) tampil ke hadapan membawa 2 buah dulang. Satu dulang untuk diisi bendera Union Jack yang diturunkan dan sebuah dulang lagi berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu. Dulang yang berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu dibawa oleh Cik Dasimah Ibrahim yang diikuti oleh Encik Tahir Abdul Majid serta Cikgu Abdul Wahab.

Bendera Union Jack mula diturunkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhimya pentadbiran British di Tanah Melayu. Penurunan bendera Union Jack disambut dengan tepukan yang bergemuruh dan laungan 'Merdeka' yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu kebangsaan Negaraku yang diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum pada malam bersejarah itu. Setelah bendera Persekutuan Tanah Melayu sampai ke puncak tiang, sorakan 'Merdeka' telah dilaungkan sebanyak tujuh kali. Tunku Abdul Rahman memberikan tabik hormat semasa bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan.

12.10 malam
Tunku Abdul Rahman menerima tabik hormat dari Barisan Kehormatan Pemuda UMNO, MCA dan MIC dan memeriksa perbarisan dengan diiringi oleh Encik Sardon Zubir. Kemudian Tunku mengelilingi padang dan memeriksa 12 kumpulan rombongan-rombongan UMNO, MCA dan MIC dari negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Tunku Abdul Rahman mengambil tempat di atas pentas. Pasukan Pemuda Perikatan seramai 24 orang yang diketuai oleh Encik Abdul Majid Othman tampil membawa dulang yang berisi rantai emas yang tergantung padanya sebuah Pingat Emas yang berukir peta Semenanjung Tanah Melayu serta gambar Tunku di dalam peta itu. Di tepi bulatan peta itu, ditulis perkataan Bapa Kemerdekaan Tanah Air, iaitu gelaran yang diberikan oleh UMNO kepada Tunku.

Kalung emas dikalungkan ke leher Tunku oleh Encik Sardon Zubir diikuti dengan pekikan "Bapa Kemerdekaan Tanah Air" sebanyak tiga kali.

12.25 malam
Tunku Abdul Rahman berucap.

12.55 malam
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tuan Haji Massood Hayati.

1.10 malam
Barisan Kehormatan berkawat di hadapan pentas untuk memberi tabik hormat kepada Tunku Abdul Rahman.

1.25 malam
Tunku Abdul Rahman meninggalkan pentas.

1.30 malam
Acara tamat.

Rentetan Peristiwa Kemerdekaan

Berikut adalah rentetan peristiwa Kemerdekaan. Gambar bagi rentetan peristiwa boleh dilihat melalui laman web www.malaysiamerdeka.gov.my)

01 Januari 1956
Rombongan Rundingan Kemerdekaan
Dari kiri: Datuk Ahmad Kamil, Datuk Dr Ismail, Datuk Hj Abdul Wahab, YTM Tunku Abdul Rahman, Dato' Mohammad Seth, Kolonel Sir H.S. Lee, Dato' Abdul Aziz Majid dan Datuk Abdul Razak Barisan belakang: T.H. Tan(Setiusaha Wakil Perikatan) dan Abdul Kadis Shamsuddin (Setiuasaha wakil Raja-raja)

01 Januari 1956
Rombongan Kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan menaiki kapal laut bernama M.V. Asia.

01 Januari 1956
Seramai 10,000 orang yang sebilangan besar terdiri daripada ahli-ahli UMNO telah menghantar Rombongan Kemerdekaan di Pelabuhan Tanjung Pagar, Singapura.

01 Januari 1956
Keratan Akhbar Melayu, 6 Januari 1956 yang menunjukkan kapal laut M.V. Asia ke Karachi, Pakistan.

Keratan Akhbar Utusan Melayu, Rombongan Kemerdekaan yang diketuai oleh YTM Tunku sedang berbincang di Lancaster House.

8 Januari 1956
YTM Tunku dan Lennox Boyd(Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris) menandatangani Perjanjian Merdeka di London.

20 Februari 1956 (11.00 pagi)
YTM Tunku yang mengetuai Rombongan Kemerdekaan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dengan Malayan Airways.

20 Februari 1956
Rombongan Merdeka yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman disambut oleh lebih kurang 1,000 jawatankuasa penyambut daripada Parti Perikatan semasa tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.

20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman, Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Hj. Abdul Wahab Abdul Aziz dan Leong Yew Koh telah diarak dengan kereta berwarna hitam bernombor plat M 4442 dari Batu Berendam hingga ke Klebang untuk berehat di rumah Tan Cheng Lock.

20 Februari 1956
Rombongan Kemerdekaan berehat seketika di rumah Tan Cheng Lock di Klebang, Melaka dalam perjalanan dari Batu Berendam ke Padang Bandar Hilir, Melaka.


20 Februari 1956 (3.30 petang)

Rombongan Kemerdekaan tiba di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Orang ramai melaungkan 'Merdeka'setibanya Rombongan Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
En Ghafar Baba, mempengerusikan perhimpunan raksasa di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
YTM Tunku menjulang keris yang dihadiahkan oleh kaum ibu UMNO Melaka yang diwakili oleh Puan Zainab bt Samdin.

20 Februari 1956
Datuk Abdul Hamid Jumat, Ketua Cawangan UMNO Singapura sedang menyerahkan Peta Persekutuan Tanah Melayu termasuk Singapura pada YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Orang ramai mendengar ucapan YTM Tunku Abdul Rahman di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Ucapan oleh Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Haji Abdul Wahab di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Ucapan wakil MCA Leong Yew Koh di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman membaca Watikah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan yang disusun oleh En Senu Abdul Rahman, Tn Syed Nasir Ismail dan ditulis oleh En Ibrahim Mahmood (Pengarang Akhbar Merdeka).

20 Februari 1956
Dr. Ismail (kiri) dan Dato' Abdul Razak (kanan) turut menandatangani pengisytiharan tarikh Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.


20 Februari 1956

Watikah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Malayu yang ditandatangani oleh ahli-ahli Rombongan Merdeka di Padang Bandar Hilir, Melaka.


20 Februari 1956

YTM Tunku Abdul Rahman melaungkan 'MERDEKA'.


20 Februari 1956

Rombongan Kemerdekaan berarak keluar selepas mengumumkan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.


Keratan Akhbar Utusan Melayu bertarikh 21 Februari 1956.

Ke Arah Kemerdekaan

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.

Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada  Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.

Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun.

Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku  Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka   mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.

Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.

Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.

Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah.

Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.

(Artikel dipetik dari www.malaysiamerdeka.gov.my)

Sejarah Kemerdekaan

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.  

Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.

Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya  dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.

Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol,  begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College.

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.

(Artikel dipetik dari www.malaysiamerdeka.gov.my)

Logo Kemerdekaan 2010



Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah

Sambutan Kemerdekaan Peringkat Sekolah akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 30 Ogos 2010
Tempat: Dewan Ibn Sina
Masa: 8.00 pagi


Adalah diharap semua guru dan murid dapat memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini.

Salam Merdeka 1Malaysia Menjana Transformasi

Khamis, 29 Julai 2010

ASTRO TUTOR TV

Semua Pegawai Pelajaran Daerah,
Semua Pengetua/ Guru Besar Sekolah Negeri Perak,

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa Kampus Astro akan melancarkan saluran pendidikan baru Astro yang akan dikenali sebagai "ASTRO TUTOR TV" pada 18 Julai 2010 dan akan tamat pada 23 September 2010. Rancangan ini akan dipancarkan melalui saluran 100. Ia adalah satu saluran sementara yang akan menawarkan pembelajaran interaktif khususnya bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini.

3. Astro Tutor TV adalah satu rancangan yang padat dengan program berbentuk format ulangkaji interaktif bagi matapelajaran utama UPSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Program ini diselitkan juga maklumat yang berguna kepada pelajar seperti penjagaan kesihatan, meningkatkan motivasi dan tip belajar secara efektif. Pelajar boleh menggunakan fungsi butang merah alat kawalan jauh Astro untuk fungsi interaktif bagi mendapatkan panduan dan kuiz. Tempoh setiap episod di antara 15 hingga 30 minit, sarikata dalam Bahasa Malaysia dan Mandarin.

4. Pihak tuan/puan dipohon untuk mewar-warkan berkaitan dengan penambahan program tersebut.

Sekian. Terima kasih.


Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Jabatan Pelajaran Perak

Isnin, 12 Julai 2010

Buku Baharu Minggu Ini

Judul: Sekolah kampung?
Pengarang: Natasha Effyzal

Alya Amira yang biasa dengan kehidupan bandar tertekan apabila mendapati dirinya perlu belajar di sekolah kampung. Baginya, itu sesuatu yang amat menakutkan. Alya Amira berusaha sedaya upaya supaya ibu bapanya kembali ke bandar. Semuanya semata-mata dia mahu kembali belajar di sekolah bandar.

Rabu, 7 Julai 2010

Intisari Rancangan Kampus Astro

Guru-guru boleh merujuk laman web astro untuk melihat intisari rancangan serta waktu tayangan.

Sekiranya rancangan yang hendak ditonton di luar waktu P&P, guru-guru boleh merakam rancangan tersebut.

Sila hubungi GPM untuk maklumat lanjut.

Sekian, terima kasih.

Astro Kampus

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sukacita dimaklumkan bahawa guru-guru boleh membawa murid masuk ke PSS untuk menonton program di Saluran Astro Kampus sewaktu P&P. Guru-guru diminta menempah PSS terlebih dahulu untuk mengelakkan pertindihan waktu tontonan.

Setiap rancangan yang ditonton perlu diisi dalam buku log Program Kampus Astro yang boleh didapati di tepi unit Kampus Astro.

Penggunaan Kampus Astro sewaktu P&P adalah digalakkan bagi meningkatkan ilmu serta kemahiran murid.

Adalah diharap agar semua pihak dapat bertanggungjawab sewaktu penggunaan tersebut.

Sekian, terima kasih.

Jumaat, 21 Mei 2010

Buku Baharu Minggu Ini

Siri: Ceritera Teladan
Judul: Kasihnya Ibu
Pengarang: Razlan Yusoff

Cerita ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri, Samad dan Piah yang tidak mempunyai anak. Pada suatu hari, seorang pakcik telah tersesat ke kampung mereka lalu diberi tumpang di rumah mereka. Sebagai membalas jasa baik mereka, pakcik tersebut pun memberikan sekuntum bunga yang aneh kepada Piah. Pakcik tersebut berpesan agar Piah mandi air bunga tersebut supaya boleh hamil. Tidak lama selepas itu, Piah pun hamil.

Pada suatu hari, sedang berburu, Samad dipatuk ular. Mayatnya ditemui oleh orang kampung. Piah bersendirian melahirkan dan membesarkan anaknya, Dahlia. Setelah meningkat dewasa, Dahlia dijodohkan dengan anak ketua kampung.

Setelah ketua kampung meninggal, anaknya mengambil tempatnya sebagai ketua kampung. Dahlia mula lupa diri setelah mendapat jawatan dan kemewahan.

Pada suatu hari, Piah kehabisan beras. Dia pun segera ke rumah Dahlia untuk meminta secupak beras. Betapa kecewanya hati Piah, apabila anaknya itu menghalau dia dari rumah. Piah berkata,"Daripada mempunyai anak seperti kau, baik aku tiada anak."

Tiba-tiba guruh berdentuman. Hujan turun dengan lebatnya. Badan Dahlia terasa sakit. Dia meminta tolong dari ibunya. Jeritan Dahlia tidak dipedulikan Piah. Perlahan-lahan Dahlia bertukar menjadi batu. Piah terus melangkah tanpa menoleh lagi.

Isnin, 17 Mei 2010

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah dijalankan seperti berikut:

Hari : Isnin
Tarikh : 17 Mei 2010
Masa : 7.40 pagi - 1.30 ptg

Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua guru dan staf yang telah bekerjasama menjayakan aktiviti pada hari ini.

"TERIMA KASIH CIKGU!"

Gotong Royong Sempena Hari Guru

Gotong Royong Sempena Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah diadakan seperti berikut:

Hari : Sabtu
Tarikh : 15 Mei 2010
Waktu : 8.00 pagi - 12.00 tghari

Terima kasih diucapkan kepada semua guru, staf dan ibu bapa yang telah bekerjasama menjayakan aktiviti gotong-royong pada hari ini.

Sabtu, 8 Mei 2010

KPPM pada 15 April 2010: Situasi Semasa Influenza A (H1N1)

KPPM pada 15 April 2010: Situasi Semasa Influenza A (H1N1)

TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
RABU, 15 APRIL 2010, PUTRAJAYA


situasi semasa influenza a ( h1n1 )



1. Sepertimana kita sedia maklum, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan bahawa berlaku peningkatan trend jangkitan Influenza A (H1N1) telah meningkat berbanding dengan minggu sebelumnya dan didapati berlaku penambahan kejadian kluster Influenza Like Illness (ILI) terutama di sekolah . Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius berhubung kualiti kesihatan murid-murid dan warga sekolah. Pada 13 April 2010, beberapa kes kluster ILI telah berlaku di negeri Johor, WP Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

2. Kementerian Pelajaran Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk meyakinkan kepada semua ibubapa supaya tidak panik kerana langkah-langkah proaktif telah diambil sebagai langkah berjaga-jaga. Apa sahaja tindakan yang diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan nasihat Kementerian Kesihatan yang sentiasa membantu dengan memberi khidmat kepakaran mereka dalam menangani kes ini di sekolah-sekolah.

3. Semua Guru Besar dan Pengetua sekolah adalah diingatkan supaya mengambil tindakan proaktif bagi memastikan Influenza A (H1N1) tidak menular di sekolah-sekolah. Sekolah diminta memantau setiap hari jika terdapat tanda-tanda penyakit seperti demam panas dan selsema pada diri pelajar dan warga sekolah hendaklah segera dirujuk kes mereka ke hospital dengan segera. Sila rujuk kepada Surat Siaran Kementerian Pelajaran bertarikh 17 Julai 2009: KP/KPPM/10/Jld.2 (2).

4. Pihak sekolah telah dimaklumkan bahawa tindakan penutupan sekolah hanya akan diambil sebagai pilihan terakhir. Walau bagaimanapun, jika keadaan memerlukan, pihak sekolah perlu mengambil tindakan berikut

4.1 Murid yang mempunyai simpton ILI tidak dibenarkan hadir ke sekolah.
4.2 Sekolah hendaklah berfungsi seperti biasa, penutupan hanya dibuat apabila sekolah/kelas tidak dapat berfungsi.
4.3 Pengasingan murid yang mempunyai simptom ILI perlu diberi perhatian khusus oleh pihak sekolah.

5. Sekiranya pihak sekolah mendapati wabak berkenaan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran, pihak sekolah boleh mendapatkan nasihat dari Pegawai Kesihatan Daerah untuk tindakan selanjutnya. Walau bagaimanapun penutupan sekolah adalah terletak dibawah kuasa Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri.

6. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa mengingatkan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah serta sekolah agar mengmbil perhatian serius terhadap penularan kluster Influenza A ( H1N1 ) dan mengambil pendekatan yang bijaksana.



Sekian, terima kasih.

SAMBUTAN HARI GURU

PENGENALAN

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


LOGO HARI GURU

logo


Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.

Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.


OBJEKTIF

Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.

Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.


IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


LAGU


GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia


Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi


TEMA HARI GURU

2010 Guru Pembina Negara Bangsa

2009 Guru Pembina Negara Bangsa

2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang

2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang

2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama

2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan

1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

1997 Guru Bestari Sekolah Bestari

1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan

1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang

1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

1989 Guru Pembina Budaya Ilmu

1989 Guru Pembina Budaya Ilmu

1988 Guru Pengasas Budaya Membaca

1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1986 Pendidikan Teras Nasionalisme

1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu

1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara

1979 Murid Sejahtera Negara Jaya

1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan

1975 Guru dan Pembangunan Negara

1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi

1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

PERUTUSAN HARI GURU 2010 OLEH Y.BHG. TAN SRI KPPM

PERUTUSAN HARI GURU 2010
oleh
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.


Warga pendidik dan pelajar sekelian,

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.


9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.

10. Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

12. Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.


TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.

Jumaat, 30 April 2010

SAMBUTAN HARI BUKU DAN HAKCIPTA SEDUNIA 2010

Hari Buku dan Hakcipta Sedunia disambut pada setiap tahun pada tanggal 23hb April sejak 1996. Tarikh tersebut telah ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Setiap tahun lebih daripada 100 buah negara merayakan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan promosi galakan membaca, kegiatan penerbitan dan perbukuan, dan perlindungan harta intelek melalui hak cipta.

Objektif:
i. meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat
ii. memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai adanya hari untuk buku dan hakcipta yang diiktiraf oleh badan antarabangsa.
iii. Memberi peluang kepada masyarakat terutamanya pelajar untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perbukuan
iv. Memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali penulis-penulis buku yang tersohor dan menjadikan penulis tersebut sebagai model.

Perasmian Sambutan Hari Buku peringkat Sekolah Kebangsaan Rungkup akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 03 Mei 2010
Hari : Isnin


Aktiviti yang akan dijalankan sepanjang minggu:
1. Pertandingan Melukis Poster
2. Pertandingan Mewarna Poster
3. Membaca Bersama
4. Pertandingan Bercerita
5. Jualan Penanda Buku

Adalah diharap agar semua warga sekolah dapat memberikan kerjasama dalam menjayakan aktiviti ini.

Terima kasih.

Ahad, 18 April 2010

Aktiviti Rakan Pembaca

Semua Rakan Pembaca diminta berkumpul untuk taklimat Rakan Pembaca seperti berikut:

Tempat: PSS SK Rungkup
Masa : 10.40 pagi
Tarikh : Khamis (22 April 2010)

**Murid dengan rekod bacaan NILAM melebihi 100 buah buku layak untuk menyertai Rakan Pembaca.

Sekian, terima kasih.

Isnin, 12 April 2010

Buku Baharu Minggu Ini

Siri: Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Yang Aneh dan Menakjubkan
Judul: Hilang, Hilang, Lenyap
Penulis: Barbara Taylor
Penterjemah: Asiah Salleh

Buku ini memaparkan makhluk zaman dahulu dan jarang-jarang didapati di dunia kini. Antaranya, fosil yang menakjubkan, termendap dalam batuan yang memperlihat keindahan dunia yang wujud jutaan tahun dulu. Dinasour yang luar biasa, makhluk yang menguasai bumi jutaan tahun yang lalu dan kemudian lenyap selamanya. Tumbuhan dan haiwan yang jarang-jarang didapati pada hari ini, terancam akibat perbuatan manusia. Khazanah bumi yang jarang-jarang didapati daripada intan dan zamrud yang bergemerlapan hinggalah emas dan mutiara yang berkilauan.

Allah yang Maha Esa telah mencipta alam semula jadi yang kita nikmati hari ini. Malangnya, sebahagian makhluk telah pupus dan oleh itu, kita mesti berusaha memulihara makhluk yang menakjubkan ini.

Judul lain dalam siri ini ialah Licik dan Menggerunkan serta Meluncur dan Merayap.

Rabu, 7 April 2010

EDUWEBTV SEBAGAI SALURAN MAKLUMAT PENDIDIKAN

EDUWEBTV SEBAGAI SALURAN MAKLUMAT PENDIDIKAN




Y. Bhg. Dato’/Datuk/Datin/Tuan/Puan,


EDUWEBTV SEBAGAI SALURAN MAKLUMAT PENDIDIKAN


Dengan Hormatnya Saya Merujuk Perkara Di Atas.


2. Selaras Dengan Perkembangan ICT Terkini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Telah Mengorak Langkah Untuk Menyiarkan TV Pendidikan Melalui Internet. Siaran TV Pendidikan Yang Sebelum Ini Dipancarkan Melalui Saluran Televisyen Terestrial kini Disalurkan Melalui Internet . Usaha Ini Adalah Sejajar Dengan Usaha KPM Untuk Merapatkan Jurang Digital Dalam Bidang Pendidikan.


3. Web TV KPM Yang Dikenali Sebagai EduwebTV Telah Dimulakan Pada 1 Mac 2008, Boleh Diakses Oleh Umum Melalui Portal www.eduwebtv.com Pada Bila-bila Masa Dan Di Mana-mana Sahaja. Pada Masa Ini Kandungan EduWebTV Mencakupi Pelbagai Bidang yang boleh Diakses Melalui Lapan Saluran Iaitu Berita, Akademik, Wawancara, Rencana, Kurikulum, Interaktif, Siaran Langsung, Dan Panduan.


4. Sehubungan Dengan Itu, Pihak Y. Bhg. Dato’/Datuk/Datin/Tuan/Puan, Digalakkan Memanfaatkan EduwebTV Ini Sebagai Saluran Pembelajaran (learning Channel) Untuk Meningkatkan Kompetensi organisasi.


5. Selain Itu, Pihak Y. Bhg. Dato’/Datuk/Datin/Tuan/Puan juga Dialu-alukan Untuk Menyumbang Kepada Pembangunan Bahan EduwebTV Terutama Dalam Konteks Peningkatan Kompetensi, Kemahiran Dan Perkongsian Amalan Terbaik (best Practices). Contoh Bahagian KPM Yang Telah Mula Memanfaatkan EduwebTV Sehingga Mac 2010 Diberikan Dalam Lampiran 1. Soalan-soalan Lazim (FAQs) EduwebTV Diberikan Dalam Lampiran 2.


6. Untuk Maklumat Lanjut Berkaitan EduwebTV Sila Hubungi En. Shamsuddin Hassan (03-2098 4988), e-mel shamsuddin@moe.edu.my atau En. Gilbert Perreire (03-2098 7789), e-mel Gilbert@moe.edu.my
Sekian, Terima Kasih.





”BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya Yang Menurut Perintah





(DATIN DR. SITI ZALEHA BT. ABDULLAH SANI)
Pengarah
Bahagian Teknologi Pendidikan
Kementerian Pelajaran Malaysia

Lampiran 1




Contoh Bahagian Dalam Kementerian Pelajaran Malaysia Yang Menggunakan Saluran EduWebTV Untuk Penyebaran Maklumat (sehingga Mac 2010).


Bil Bidang Bahagian Saluran

Bahan P&P BTP, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Interaktif, Kurikulum

Maklumat Pelbagai Bantuan Persekolahan Bahagian Kewangan Panduan

Maklumat PTK, Tips Menduduki PTK Bahagian Pembangunan Dan Pengurusan Kompetensi (BPPK), Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Panduan

Program Sukan Bahagian Sukan, Seni Dan Kokurikulum (BSSK) Berita

Latihan Dalaman Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) Belum Dimuat Naik

Maklumat MUET MPM Panduan

Panduan Matrikulasi Bahagian Matrikulasi Panduan

Panduan Persediaan Hari Pertama Sekolah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Panduan

Panduan Penyertaan NPQEL Institut Aminuddin Baki (IAB) Panduan

Maklumat Pendaftaran STPM Majlis Peperiksaan Malaysia Panduan

Panduan Kemasukan Murid Tiada Sijil Lahir Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Panduan

Sekolah Berprestasi Tinggi Sekolah Alam Shah (SAS) Wawancara

Konsultasi Dan Kaunseling Bahagian Psikologi Dan Kaunseling Wawancara





--------------------------------------------------------------------------------



Lampiran 2


SOALAN LAZIM EDUWEBTV



1. Apakah EduwebTV?


EduwebTV Adalah Saluran TV Pendidikan Yang Disiarkan Melalui Internet.



2. Bahagian Manakah Yang Menguruskan Perjalanan EduwebTV?


EduwebTV Diuruskan Oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.



3. Siapa Yang Boleh Mengakses EduwebTV?


EduwebTV Bebas Untuk Diakses Oleh Sesiapa Sahaja Yang Mempunyai Talian Internet. Pengguna Berdaftar Hanya Untuk Warga Sekolah (guru Dan Murid) Sahaja Di Mana Mereka Boleh Mengakses Pada Senarai Playlist Dan Membuat Saringan Video Pilihan Mereka Sendiri Di Samping Modul Tambahan Seperti Calendar, Reminder Dan Sebagainya.




4. Adakah Yuran Atau Pendaftaran Diperlukan Untuk Menonton EduwebTV?


Tiada Yuran Pendaftaran Dikenakan. Pendaftaran Diperlukan Untuk Tujuan Rekod Penggunaan.



5. Bagaimana EduwebTV Boleh Diakses?


EduwebTV Boleh Diakses Melalui Internet Menggunakan Alamat www.eduwebtv.com



6. Apakah Spesifikasi Asas Yang Diperlukan Untuk Mengakses EduwebTV?


Anda Perlukan Talian Internet, Komputer Dengan Sekurang-kurangnya Pentium 3, 16MB RAM, Windows Media Player Versi 9 (dan Ke Atas), Dan Windows XP Operating System (dan Ke Atas).



7. Apakah Program Yang Ada Di Dalam EduwebTV?


Setakat Ini Bahan Di EduwebTV Dikategorikan Kepada Lapan Saluran Iaitu Berita, Akademik, Rencana, Wawancara, Kurikulum, Interaktif, Siaran Langsung Dan Panduan

8. Bagaimana Tahap Respon Pengguna Terhadap EduwebTV Setakat Ini?


Sehingga 28 Februari 2010, EduwebTV Telah Mencatatkan 275 860 096 Hits,
6 959 Muat Turun Rancangan Dan 81 400 Pengguna Berdaftar



9. Apakah Yang Perlu Saya Lakukan Sekiranya Saya Menghadapi Masalah Untuk Mengakses Program Dalam EduwebTV?


Sila Hubungi Meja Bantuan 1-300-88-4774 Yang Beroperasi Dari 9.00 Pagi Hingga 5.00 Petang




Disediakan Oleh:
Unit EduwebTV, Sektor Penyiaran Pendidikan
Bahagian Teknologi Pendidikan
Kementerian Pelajaran Malaysia

Selasa, 23 Februari 2010

Buku Baharu Minggu Ini

Siri: Siri Novel Kanak-Kanak
Judul: Anakku Zami
Pengarang: Amril Syah.

Anakku Zami menceritakan kisah seorang anak yang tidak mahu mendengar teguran dan nasihat daripada ibubapanya. Zami sering mendatangkan masalah kepada ibubapanya. Dia seorang anak yang degil dan sering bercakap bohong dengan ibunya. Akibat bergaduh dengan kawannya, Zami melarikan diri kerana takut ditangkap oleh polis dan dipukul oleh bapanya. Namun, kemaafan daripada bapanya telah memberikan keinsafan padanya bahawa segala teguran dan leteran ibubapanya hanyalah kerana kasih saying mereka yang tidak ternilai pada dirinya.

Selasa, 9 Februari 2010

Buku Baharu MInggu Ini

Judul: Adikku Sayang (Siri Novel Kanak-Kanak)
Pengarang: Zainun binti Mustapha.

Adikku Sayang mengisahkan seorang murid yang berhati mulia, iaitu Amirul Hakim. Walaupun dia seorang yang mempunyai kekurangan diri, iaitu tempang sejak lahir, namun dia dikasihi oleh keluarga dan kawan-kawannya. Dia sering diejek oleh kawan-kawannya sebagai tempang, tetapi dia tidak pernah mengambil hati dengan ejekan tersebut. Malah, dia telah membantu mereka ketika mereka ditimpa kesusahan. Amirul Hakim juga sangat disayangi oleh guru-gurunya dan menjadi contoh kepada murid-murid lain.

Rakan-rakan sekalian bolehlah meminjam buku ini di Pusat Sumber Sekolah untuk mengikuti kisah lanjut Amirul Hakim.

Buku Baharu MInggu Ini

Judul: Misteri Rumah Tumpangan
(Siri Rakan Jaguh)
Pengarang: Jaffry Mahidin.

Buku yang berjudul Misteri Rumah Tumpangan ini mengisahkan tentang 3 rakan karib; Hafiz, Beng Teong dan Ramesh yang bercuti di Tasik Merah. Sepanjang percutian tersebut, mereka menginap di sebuah rumah tumpangan di situ.

Pada mulanya, percutian tersebut berjalan seperti biasa. Segalanya kelihatan baik dan seakan-akan tiada apa-apa yang buruk berlaku. Namun selepas beberapa hari, Hafiz dan rakan-rakannya dapat mengesan sesuatu. Mereka mula menaruh syak terhadap seorang penghuni yang tinggal di rumah tumpangan tersebut.

Pada suatu malam, ketika hujan lebat, Hafiz telah terserempak dengan seorang lelaki yang berada di dalam keadaan yang mencurigakan. Sejak itu, Hafiz dan rakan-rakannya mula menyiasat apa yang sebenarnya berlaku di rumah tumpangan itu. Mereka kemudiannya mengatur satu rancangan bagi menyelesaikan misteri tersebut.

Buku bertemakan misteri ini ada jawapannya.

Isnin, 1 Februari 2010

PORTAL STANDARD GURU MALAYSIA (SGM) - INSTRUMEN ONLINE

Dipetik dari Laman Web PPD Hilir Perak

Semua warga pendidik Hilir Perak;

Portal SGM boleh diakses oleh semua guru di Malaysia melalui laman web Bahagian Pendidikan Guru di alamat http://apps.emoe.gov.my/bpg/index.cfm atau terus ke laman web SGM http://apps.emoe.gov.my/bpg/sgm/index.html
Pengguna dikehendaki mendaftar untuk menggunakan 'Instrumen Online' di alamat http://www.moe.gov.my/sgm

Khamis, 28 Januari 2010

Buku Baharu MInggu Ini

Siri : Rakan Dari Rimba
Pengarang : Hazli Mat Saad


Judul : Anak Murai Belajar Berdikari.

Buku ini mengisahkan tentang Si Murai yang sangat gembira kerana telah mendapat anak. Setiap hari, Si Murai akan keluar untuk mencari makanan untuk anaknya. Hari demi hari, anaknya semakin besar. Namun begitu, Si Murai tetap mencari makanan untuk anaknya kerana anaknya enggan mencari makanan sendiri. Pada suatu hari, Si Murai telah dilastik oleh seorang budak nakal. Kepalanya cedera parah. Dia dirawat oleh Si Tikus. Anaknya menangis kelaparan kerana ibunya tidak pulang membawa makanan untuknya. Setelah sembuh, Si Murai pulang ke sarang dan menceritakan apa yang berlaku kepada anaknya. Anaknya berjanji akan belajar untuk berdikari dan tidak malas lagi.



Judul buku : Sahabat Yang Sejati

Buku ini mengisahkan tentang seekor monyet, Niki yang menemui seekor lagi monyet Niko. Mereka berdua yatim piatu sehinggalah mereka menemui sekumpulan monyet yang baik. Pada suatu hari, mereka diserang oleh seekor singa. Niki berjaya melarikan diri, sementara Niko pula diterkam oleh singa. Niko akhirnya Berjaya melepaskan diri, tetapi cedera parah dan kehilangan banyak darah. Dia amat lemah dan menyorok di sebalik belukar. Niki berjaya menemui Niko dan menjaga Niko sehingga dia sembuh. Niki dan Niko kekal menjadi sahabat baik sehingga ke akhir hayat.

Khamis, 21 Januari 2010

PELAKSANAAN P&P SAINS DAN MATEMATIK BAGI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH

KENYATAAN AKHBAR

Y.BHG. TAN SRI DATO' ALIMUDDIN HJ. MOHD DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).



Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme "soft landing" untuk P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Mekanisme "soft landing" adalah seperti berikut:

(i) P&P Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris bagi SJK(C) dan SJK(T).

(ii) Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Walau bagaimanapun mekanisme "soft landing" akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa. Kohort-kohort yang terlibat adalah seperti berikut:

(a) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.

(b) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.

(c) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2016.

(d) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2013.

(e) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.

(f) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015

PENTAKSIRAN

(a) Peperiksaan UPSR bagi matepelajaran Sains dan Metematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.

(b) Peperiksaan PMR bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehinggan tahun 2013.

(c) Peperiksaan SPM bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015.

Ini bermakna penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi SJK(C) dan SJK(T) bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik akan dilaksanakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah akan terlaksana pada tahun 2016. Walau bagaimanapun pengajaran Sains dan Matematikn bagi Tingkatan 6 dan Matrikulasi akan kekal dalam Bahasa Inggeris.

Isnin, 18 Januari 2010

Memperkenalkan Buku Baru di Perhimpunan

Judul : Berpantang Maut Sebelum Ajal
Penerbit: Karisma Publications Sdn Bhd

Berpantang Maut Sebelum Ajal mengisahkan tentang seorang pelajar dari Semenanjung yang pergi bercuti ke rumah saudaranya di Kuching, Sarawak. Bersama-sama sepupunya, mereka menyertai ekspedisi mengharungi sebatang sungai di Sarawak. Berbekalkan ilmu membuat dan mengemudikan rakit, mereka menyertai ekspedisi tersebut. Arus semakin kuat, dan mereka menghadapi saat-saat getir apabila terhumban ke dalam sungai dan rakit mereka berpusing-pusing. Dapatkah mereka menyelamatkan diri? Dapatkah mereka menghabiskan ekspedisi tersebut? Ikuti penghabisan kisah ini dengan membaca Berpantang Maut Sebelum Ajal yang boleh didapati di Pusat Sumber Sekolah.

Jumaat, 15 Januari 2010

PEMINJAMAN BUKU

PSS akan memulakan operasi peminjaman buku kepada murid-murid bermula pada minggu ketiga sesi persekolahan. Untuk memastikan peminjaman berjalan dengan lancar, diminta kepada murid-murid yang belum mempunyai kad pinjaman dapat berurusan dengan Pn. Suhaila Mohd Muslim pada waktu rehat.

Kepada murid yang telah mempunyai kad pinjaman, kad tersebut masih boleh digunakan dan kepada yang telah hilang atau telah rosak perlu dapatkan yang baru.

Guru-guru boleh membuat peminjaman buku dan bahan bantu belajar dengan mengisi Buku Rekod Pinjaman Guru dan Kakitangan.

Di harap semua pihak dapat memberi kerjasama.

Rabu, 13 Januari 2010

TEKS UCAPAN PERUTUSAN TAHUN BARU

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

PERUTUSAN TAHUN BARU 2010

7 JANUARI 2010; PUKUL 8.40 PAGI;
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualiikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri Pelajaran I;

Yang Berhormat Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran II;

Yang Berbahagia, Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Awang,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran;

Yang Berbahagia, Tan Sri Dato’ Hj Alimuddin bin Hj Mohd Dom,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran;

Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Guru-guru, murid-murid serta tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, maka kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru bagi tahun 2010 ini. Bagi warga Kementerian Pelajaran, hari ini merupakan hari yang amat bermakna di mana seluruh warga Kementerian Pelajaran dari segenap pelusuk tanah air berhimpun untuk bersama-sama memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan menyuntik semangat baru yang lebih kental bagi melaksanakan tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa dan melonjakkan mutu pendidikan negara.

Para hadirin yang dihormati,

2. Kementerian Pelajaran merupakan nadi kepada usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga Kementerian untuk menyediakan pendidikan berkualiti yang menekankan pembangunan insan secara holistik dan membangunkan daya inovasi dan kreativiti pelajar. Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara kita. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Ekonomi Baru dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

3. Dalam sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, pendidikan juga merupakan wadah utama untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Hasrat ini hanya akan dapat dicapai melalui pelaksanaan satu sistem pendidikan yang mementingkan nilai-nilai kebangsaan dan menghormati kepelbagaian. Melalui sistem pendidikan ini, anak-anak akan diasuh dengan nilai-nilai kebersamaan, hormat-menghormati, cintakan tanah air dan penerimaan antara satu sama lain. Saya percaya dengan adanya usaha, tekad dan niat yang murni daripada pelbagai pihak untuk menyemai dan menyuburkan benih perpaduan di kalangan generasi muda melalui satu sistem pendidikan kebangsaan, kita akan berjaya memperkukuhkan perpaduan negara selaras dengan hasrat dan gagasan 1Malaysia.

4. Hakikatnya, melahirkan modal insan yang berketerampilan dan memupuk perpaduan kebangsaan adalah dua matlamat murni sistem pendidikan negara. Lebih daripada itu, sistem pendidikan di negara kita dipandu oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang sempurna dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, fungsi utama pendidikan di negara kita ialah untuk membina dan membangun potensi yang ada pada setiap anak kita tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya. Adalah menjadi hak setiap anak-anak di negara ini untuk mendapatkan pendidikan yang mampu menggarap dan membina segala potensi yang ada pada diri mereka secara seimbang dan sempurna.
Para hadirin yang dihormati sekalian,

KEJAYAAN YANG DICAPAI DALAM TAHUN 2009
Akses Pendidikan Berkualiti – Infrastruktur dan Kebajikan

5. Menyedari kepentingan pendidikan sebagai wahana untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, mempekukuhkan perpaduan dan membangun potensi pelajar secara seimbang, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda pendidikan. Meskipun Malaysia menerima kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia, Kementerian Pelajaran sentiasa memastikan perancangan dan pembangunan pendidikan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya. Alhamdulillah, pencapaian sepanjang tahun 2009, menunjukkan program-program yang dirancang telah memberi impak yang berkesan.

PENCAPAIAN AKADEMIK DI SEKOLAH

6. Dari segi pencapaian akademik, pencapaian calon UPSR pada tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan bilangan pelajar yang memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.32 peratus. Sementara itu, keputusan PMR 2009 juga mencatatkan peningkatan sebanyak 6 peratus.



AKTIVITI SUKAN, SENI DAN KOKURIKULUM

7. Saya juga amat berbangga dengan kejayaan menonjol para pelajar dalam bidang ko-kurikulum apabila pasukan negara kita menjadi johan keseluruhan dalam pertandingan World Robotic Challenge 2009 di Pohang, Korea Selatan; mendapat tempat ke enam dalam F1 Technology Challenge World Championship 2009 di London; dan pasukan daripada Sekolah Victoria menjuarai Kejohanan Pancaragam Sedunia 2009. Manakala dalam bidang sukan, kita amat berbangga dengan kegigihan yang ditunjukkan oleh para atlet muda dari Sekolah Sukan Malaysia yang mampu bersaing dengan atlet senior di Temasya Sukan SEA Ke-25 di Laos dengan meraih sebanyak 28 pingat emas. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua!

8. Usaha yang lebih bersepadu untuk menambah baik kemudahan dan prasarana sukan, meningkatkan keupayaan jurulatih dan menyemarakkan program sukan dan kokurikulum di sekolah akan terus dilaksanakan pada masa hadapan. Untuk tujuan ini, seramai 480 orang jurulatih kokurikulum telah dilatih pada tahun 2009 bagi membolehkan 516 jawatan jurulatih kokurikulum diisi pada tahun 2010 ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

MEMANTAPKAN LATIHAN PERGURUAN

9. Kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabat profesionalisme keguruan, KPM telah melaksanakan beberapa strategi. Ini termasuklah menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru (IPG) yang menawarkan program ijazah. Kumpulan pertama guru terlatih IPG iaitu seramai 1,448 orang yang berjaya memperolehi ijazah sarjana muda pendidikan di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) pada Disember 2009 akan memulakan tugas mereka pada awal tahun ini. Pusat-pusat Kecemerlangan Institut Pendidikan Guru juga telah diwujudkan berdasarkan bidang-bidang kebitaraan.

10. Kementerian juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti berprestij dalam dan luar negara sebagai salah satu usaha menaik taraf IPG, meningkatkan pembangunan kapasiti (capacity building) para pensyarah dan melahirkan guru siswazah yang berkemahiran. Antara yang telah dilaksanakan ialah Program Perguruan IPTA (Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dalam negara, serta Program Kembar Bachelor of Education (TESL). IPG Kampus Antarabangsa yang telah bekerjasama dengan lima universiti di Australia, New Zealand dan United Kingdom sejak tahun 2003 telah melahirkan tiga kohort guru bahasa Inggeris berjumlah 367 orang yang majoritinya berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman. Program melatih guru dalam bahasa Antarabangsa seperti Bahasa Jerman, Bahasa Jepun dan Bahasa Perancis diteruskan bagi memastikan murid sekolah berpeluang belajar bahasa lain selain bahasa Inggeris. Selain itu, Program Pensarjanaan Tenaga Pengajar IPG diteruskan bagi menjamin kredibiliti tenaga pengajar dan kualiti pendidikan di IPG. Sehingga penghujung tahun 2009, sejumlah 60 peratus pensyarah IPG telah ditawarkan tajaan biasiswa kedoktoran manakala 57 peratus pensyarah ditawarkan tajaan biasiswa sarjana.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN PENDIDIKAN

11. Pemeluasan akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak akan lengkap tanpa memastikan pelajar menikmati kemudahan pendidikan yang selesa. Oleh itu, sebanyak 10,281 projek infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian. Bagi memastikan anak-anak kita di luar bandar dan kawasan pedalaman menerima pendidikan yang sewajarnya, sebanyak 93 buah asrama baru, asrama tambahan dan gantian telah siap, atau sedang dalam proses pembinaan. Kementerian juga telah melaksanakan sebanyak 168 buah projek rumah guru yang diharap dapat memastikan guru dapat berkhidmat di kawasan pedalaman dalam keadaan yang lebih selesa.

12. Selain itu, KPM juga telah melaksanakan projek bekalan air bersih di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM387.9 juta. Bekalan elektrik telah berjaya disediakan di sekolah-sekolah di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM1.78 billion. Sehingga kini bekalan elektrik 24 jam telah dapat disediakan kepada hampir semua sekolah iaitu 99.1 peratus sekolah rendah, dan 99.5 peratus sekolah menengah. Dalam usaha merapatkan jurang digital, Kementerian telah mewujudkan 2143 atau (70.8%) pusat akses ICT di luar bandar. Dengan terlaksananya pembinaan pusat akses, maka ramai murid telah dapat melaksanakan pembelajaran kendiri, berkomunikasi secara elektronik, mencapai maklumat dan memperoleh kemahiran ICT.
Hadirin yang dihormati sekalian,

KEBAJIKAN GURU

13. Sesungguhnya Kementerian amat menghargai dan berterima kasih kepada para pendidik yang tanpa jemu berusaha meningkatkan kualiti pendidikan negara dan mendidik anak bangsa, terutamanya bagi mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman. Bagi memastikan guru terlatih mencukupi mengikut opsyen di pedalaman, Kementerian telah memperluaskan pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan bagi pegawai perkhidmatan pendidikan dan anggota kumpulan sokongan yang berkhidmat di sekolah pedalaman. Elaun ini telah memberi manfaat kepada seramai 12,000 warga pendidik di 872 buah sekolah.

14. Untuk memartabatkan profesyen keguruan, Kementerian juga telah meluluskan 3,302 pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah (PPPS) laluan cemerlang, 233 bagi laluan Guru Besar bekas Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma (PPLD); 9, 627 bagi PPPS laluan Time-Based; 17, 916 bagi PPPS laluan hakiki; 2,137 bagi PPLD laluan cemerlang; 8,218 bagi PPLD laluan Time-Based; dan 5,368 bagi PPLD laluan hakiki. Bagi Anggota Kumpulan Sokongan pula, jumlah pemangkuan dan kenaikan pangkat yang diluluskan ialah 4,001 bagi laluan Time-Based dan 10,915 bagi laluan Hakiki.

PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN PERINGKAT ANTARABANGSA

15. Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia, Kementerian menjalin program-progran kerjasama dengan negara-negara maju dan membangun. Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang dikendalikan di IPG, Kampus Bahasa Antarabangsa sejak tahun 2001 melibatkan 93 buah negara, adalah salah satu bukti bahawa pendidikan di Malaysia telah mencapai tahap antarabangsa dan mempamerkan keupayaan Malaysia menjadi global players dalam arena pendidikan dunia. Satu lagi projek yang amat membanggakan Malaysia pada tahun 2009 adalah Malaysia Australia Education Project for Afghanistan (MAEPA), iaitu projek kerjasama Malaysia dan Australia bagi melatih 30 orang jurulatih utama dari Afghanistan dalam pendidikan guru menurut perspektif pendidikan Islam di IPG yang sama. Malaysia juga akan meningkatkan jalinan kerjasama peringkat dua-hala (Bilateral) dan pelbagai-hala (Multilateral) melalui pelbagai saluran kerjasama di peringkat antarabangsa seperti ASEAN, UNESCO, ISESCO, Komanwel, dan SEAMEO


Hadirin yang dihormati sekalian,

HARAPAN BAGI TAHUN 2010

16. Apakah harapan dan wawasan kita bagi tahun 2010? Walaupun kita telah berjaya melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kualiti pendidikan pada tahun 2009, kita juga akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu ditangani bagi tahun 2010. Antara cabaran yang menuntut komitmen dan iltizam semua warga pendidik adalah meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan sebagaimana yang disasarkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.

17. Justeru, bagi tahun 2010 saya ingin memberikan tumpuan khusus kepada usaha untuk mencapai sasaran awal empat sub-NKRA pendidikan. Pertama, untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, sasaran Kementerian bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas, malah juga meliputi kanak-kanak yang berumur 4 tahun. Penyertaan kanak-kanak seawal umur 4 tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi. Pada masa ini, 67 peratus kanak-kanak telah mengikuti prasekolah kerajaan dan swasta. Sasaran bagi tahun 2010, iaitu peningkatan 5 peratus kepada 72 peratus bukanlah sesuatu yang sukar dicapai, kerana tanggungjawab ini akan dipikul bersama oleh agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Selaras dengan ini, Kementerian telah menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun 2010 ini. Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta, akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid.

18. Kedua, penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira murid akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS) pada peringkat sekolah rendah. Pada masa kini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak 3 peratus iaitu kepada 90 peratus. Sasaran ini akan disokong dengan menempatkan guru-guru yang terbaik untuk mengajar Tahun 1, menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah 1 guru kepada 15 orang murid daripada nisbah sedia ada iaitu 1 guru kepada 1 sekolah. Ini akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M. Kumpulan guru yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guru-guru dalam program ini juga akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.

19. Ketiga, sasaran untuk melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi akan dicapai dengan mewujudkan sekolah berkesan atau effective schools yang mempunyai identiti tersendiri yang unik, berbudaya kerja sangat tinggi dengan modal insan yang berkembang secara holistik, berdaya saing serta diiktiraf dalam dan luar negara. Sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini agar matlamat kita menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012 tercapai. Saya amat berharap agar hasrat untuk mewujudkan sekolah-sekolah sebegini menjadi realiti dan seterusnya menjadi sekolah contoh kepada sekolah-sekolah lain dalam mencipta kecemerlangan institusi masing-masing.

20. Keempat, Kementerian telah merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah yang telah berusaha memajukan serta menyumbang kepada profesionalisme pengurusan dan kesejahteraan institusi masing-masing. Bermula tahun 2010, semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran yang perlu dicapai dengan persetujuan bersama Kementerian. Pencapaian prestasi sekolah adalah berdasarkan skor komposit iaitu kombinasi skor Gred Purata Sekolah (GPS) dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai kedudukan tertinggi akan layak menerima ganjaran. Kementerian berharap agar ganjaran ini menjadi pendorong kepada semua pemimpin sekolah untuk terus berusaha dengan gigih bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dan seterusnya meningkatkan kualiti sekolah sehingga menjadi sekolah berprestasi tinggi.

21. Dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita juga perlu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Alhamdulillah, dalam kalangan pelajar kita terdapat mereka yang lebih cenderung untuk mengasah bakat dalam bidang kemahiran. Menyedari hakikat ini, Kementerian telah menstruktur semula 69 buah Sekolah Menengah Teknik untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional yang diharapkan dapat menggarap kemahiran pelajar-pelajar kita dan meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka. Kita juga telah merancang program yang terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi salah satu bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan kita. Saya percaya dengan peningkatan mutu pendidikan kemahiran dan vokasional, kita akan dapat membekalkan tenaga kerja yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang amat diperlukan oleh Negara.

22. Penandaarasan pendidikan negara adalah amat penting untuk menjamin pendidikan di negara kira adalah setanding dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Dengan mengambil kira kesesuaian konteks pendidikan Malaysia, Kementerian akan menjalankan kajian penilaian ke atas sistem pendidikan negara pada tahun hadapan dengan kerjasama UNESCO bagi membolehkan kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk menambahbaik sistem pengurusan pendidikan, kurikulum, latihan perguruan, proses pengajaran dan pembelajaran dan aspek-aspek lain secara keseluruhannya.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

MBMMBI

23. Bahasa merupakan jiwa sesuatu bangsa. Menyedari hakikat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan, Kementerian akan berusaha lebih gigih untuk memartabatkan bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Program literasi kepada murid sekolah rendah akan menumpu kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia dalam semua aliran pendidikan. Ini bagi memastikan semua murid dapat berkomunikasi dan memahami satu sama lain dalam satu bahasa yang akan mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Selain itu, Kementerian juga akan melaksanakan transformasi bahasa Malaysia dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang, dan holistik.

24. Untuk berjaya pada peringkat antarabangsa, kita perlu menguasai bukan sahaja satu bahasa malah pelbagai bahasa antarabangsa. Untuk tujuan itu, Kementerian telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan penguasaan dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua negara, lantas dapat meningkatkan keupayaan murid menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi, serta mempersiapkan mereka menghadapi persaingan arus globalisasi, selain menggalakkan murid menguasai bahasa-bahasa antarabangsa lain di dunia. Antara usaha yang dijalankan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan menambah bilangan guru bahasa Inggeris berkualiti melalui latihan perguruan menggunakan jurulatih utama dari luar negara atau penutur jati bahasa tersebut. Selain itu, penambahan masa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebanyak 90 minit untuk Sekolah Kebangsaan dan 60 minit untuk Sekolah Jenis Kebangsaan membuktikan kesungguhan Kementerian untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Sebanyak empat IPG dan English Language Training Centre (ELTC) telah dikenalpasti sebagai ‘Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris’. Semua IPG ini akan melaksanakan pelan tindakan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih dan dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2010 dan tahun-tahun berikutnya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

25. Kementerian telah merancang pelbagai usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan menambahbaik sistem pendidikan negara. Namun, usaha dan perancangan tersebut akan menghadapi cabaran yang bukan sedikit pada tahun 2010 ini. Sebagai permulaan, krisis ekonomi dunia yang berlaku telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara kita. Situasi ini telah menjejaskan pendapatan negara. Ini menyebabkan peruntukan perbelanjaan Kementerian Pelajaran pada tahun ini dikurangkan kepada RM30.51 billion berbanding RM31.4 billion pada tahun lalu. Cabaran kepada Kementerian ialah untuk meneruskan segala aktviti sedia ada secara lebih cekap dengan meletakkan keutamaan (priority) pelaksanaan program yang dirancang tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

26. Kunci kepada kejayaan kita mengharungi cabaran ini ialah pengurusan kewangan yang berhemah berteraskan amalan nilai-nilai moral, etika dan integriti yang luhur. Dalam memelihara integriti, saya menyeru seluruh warga Kementerian agar menghayati nilai-nilai murni seperti cekap, jujur dan amanah, serta membuat sesuatu keputusan berasaskan kepada kriteria-kriteria yang telus, adil dan saksama serta mengelakkan pembaziran. Saya yakin dengan memelihara integriti, kita akan berupaya mengurus kewangan dengan berhemah dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selaras dengan prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

27. Cabaran yang perlu digalas oleh semua pengurus pendidikan khususnya pada peringkat institusi pendidikan ialah untuk berfikir dan bertindak bagi mengekal dan meningkatkan pencapaian berdasarkan tahap keberhasilan yang ditetapkan dengan menggunakan sumber yang terhad. Kejayaan pengurusan sekolah mendepani cabaran ini sesungguhnya menjadi ukuran kepada kecekapan dan keberkesanaan mereka dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Inilah masa yang sesuai untuk kita memperaktikkan cadangan YAB Perdana Menteri bagi tahun 2010, iaitu ‘menggalakkan kreativiti dan inovasi’ dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Saya percaya, kita pasti dapat mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang dengan adanya semangat dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme warga pendidik.

28. Kepada para pelajar, harapan saya tentu sekali anda semua mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ingatlah bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh para guru dan seluruh warga Kementerian ini ialah untuk mendidik anda semua agar menjadi pelajar yang cemerlang. Justeru, berusahalah dengan gigih, hormatilah para guru dan ibubapa, peliharalah disiplin dan sahsiah diri, dan capailah impian anda. Di samping itu, jadikanlah sekolah kita sebagai medan untuk memperkukuhkan perpaduan. Hayatilah semangat 1Malaysia dengan sepenuh hati dan amalkanlah sikap saling hormat-menghormati. Saya percaya dengan sikap yang baik ini kita akan berjaya memupuk semangat perpaduan yang lebih kental.




PENUTUP

29. Akhirnya, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua warga Kementerian Pelajaran, termasuk semua pendidik yang berada di seluruh pelusuk negara yang telah berusaha dengan gigih untuk menjayakan pelbagai program pada tahun 2009. Bagi tahun baru 2010 ini, saya berharap usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan akan dilipatgandakan lagi agar kita dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita pada hari ini dan masa depan. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Semoga usaha kita akan diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita dapat dilaksanakn dengan jayanya.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Khamis, 7 Januari 2010

Siaran Langsung Sidang Video Perutusan Tahun Baru KPPM 2010 di Eduweb TV

Semua warga pendidik adalah diminta untuk menonton rancangan siaran langsung berikut di saluran Siaran Langsung EduwebTV:-


Perkara:
SIDANG VIDEO
MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAUSIA

Tarikh:
12 JANUARI 2010

Masa:
9.00 PAGI – 10.00 PAGI

Tempat:
BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Alamat URL:
http://www.eduwebtv.com

Perutusan Tahun Baru 2010 oleh Menteri Pelajaran di TV1

Sukacita dimaklumkan bahawa Perutusan Tahun Baru 2010 KPM oleh Y.A.B. Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan disiarkan secara langsung melalui TV1 pada 7 Januari 2010 bermula jam 9.10 pagi hingga 9.30 pagi, butiran lanjut adalah seperti berikut :-


Perkara:
MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Tarikh:
7 JANUARI 2010

Masa:
8.40 PAGI – 11.00 PAGI

Tempat:
DEWAN PLENARI, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Sehubungan itu semua warga pendidik dijemput untuk menyaksikan siaran tersebut.

Siaran Langsung Perutusan Tahun Baru KPM 2010 di Eduweb TV

Semua warga pendidik adalah dijemput untuk menonton rancangan siaran langsung berikut di saluran Siaran Langsung EduwebTV:-

Perkara:
MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Tarikh:
7 JANUARI 2010

Masa:
8.40 PAGI – 11.00 PAGI

Tempat:
DEWAN PLENARI, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Alamat URL:
http//www.eduwebtv.com

Selamat Kembali Ke Sekolah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pihak PSS dengan sukacitanya mengalu-alukan pendaftaran baru murid Tahun 1 dan murid-murid Tahun 2 - 6 ke Sekolah Kebangsaan Rungkup bagi sesi persekolahan 2010. Adalah diharap agar tahun ini lebih bermakna dan gemilang berbanding tahun-tahun sebelumnya.... AMIIN